ARKIB : 01/09/2014
Pembelajaran digital tingkat prestasi sekolah
Pelancaran Chrome Lab iaitu makmal digital 2.0 yang pertama di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Choong Wen dekat Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur sejak setahun lalu kini menampakkan hasil dan manfaat kepada warga sekolah tersebut.
Penolong Guru Besar sekolah itu, Lee Man Jiau berkata, sebanyak 54 unit Chromebook yang dilengkapi teknologi capaian Internet Yes 4G digunakan guru dan murid untuk berinteraksi mengenai jadual, kerja sekolah, menyemak kedatangan dan sebagainya yang di luar jangkauan bilik darjah.
"Apabila Chromebook diperkenalkan kali pertama di sekolah ini, kakitangan pentadbiran menggunakannya kerana mudah dan menjimatkan masa malah selesa dalam komunikasi antara satu sama lain, walaupun tidak berada di pejabat,'' katanya.
Setakat ini, kira-kira 60 peratus daripada 2,340 murid sekolah itu menggunakan kemudahan Chromebook dan Google Apps manakala dalam kalangan guru pula jumlahnya dianggarkan 80 peratus yang menggunakannya untuk mengajar.
Sementara itu, guru bahasa Mandarin dan Matematik, Tan Shin Yee memberitahu, selepas pengenalan Frog VLE, Chromebook dan Google Apps, murid lebih bersemangat untuk mengikuti pembelajaran dan keputusan peperiksaan juga menampakkan peningkatan.
"Dahulu, 12 dari 49 pelajar saya gagal dalam peperiksaan Matematik namun selepas kemudahan ini dipraktikkan, hanya lima murid gagal dalam mata pelajaran tersebut.
"Melalui penggunaan Apps dan Chromebook selama setahun, murid yakin dapat memperbaiki markah mereka dengan menghabiskan lebih banyak masa melayari laman-laman Frog dan menggunakan Apps," katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
发表评论